Sunday, April 18, 2010

Puisi Guru Oh Guru

SN Dato' Usman Awang

Guru oh guru...........
Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat,
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat,
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat,
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang Peguam berbicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Dimana-mana dia berdiri di muka muridnya,
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota,
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu,
Dia adalah guru mewakili seribu buku,
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa,
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun di akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu,
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat,
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan Allahyarham SN Datu' Usman Awang
Dipetik dari buku antologi puisi Guru Oh Guru yang diselenggarakan oleh Zam Ismail
terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, 1989.

Friday, April 16, 2010

Ya Allah ...Berilah aku taubat nasuha...



Assalamualaikum w.b.t

BismillahhirRomanNirRohim..

"Kasihanilah aku wahai Tuhan
Hamba yang lemah ini pengampunan-Mu yang ku harapakan.."

Sahabat2 yang amat di kasihi Allah Azzawajalla, dan di ingati Rasulullah s.a.w sepanjang kehidupan. Insya Allah, kali ini kita akan berbicara tentang Allah. Mungkin perbicaraan ini terlalu global, namun, ianya sangat dekat di hati kita kerana Allah itu kan lebih dekat dari urat leher.

Allah..

Perbicaraan tentangNya pasti akan mengentarkan hati kerana Dialah Maha Agung, yang Ter Agung, maka pastilah hati menjadi kecut, muka menjadi pucat, bibir kelu berkata kerana nama Allah itu sudah mengalir di dalam darah, laju dan pantas sampai ke jantung lalu membikin jantung berdegup kencang kerana dia telah mengenal nama yang Maha Agung itu.


Begitulah kebesaran Allah dan Rahmat-Nya serta pengampunan-Nya yang tidak terhitung. Masakan hendak di hitung, kita sendiri wujud di dunia kerana kehendak-Nya, padahal hakikatnya kita tidak pernah wujud di dunia. Kerana cinta-Nya, Dia mewujudkan kita, sedangkan Dia Maha Tahu yang manusia selalu curang pada-Nya. Kerana Penyayang-Nya, dia mengizinkan pula kita beramal dengan amal2 yang sholeh sedangkan Dia Maha Tahu yang manusia akan lupa bahawa Dialah yang mengizinkan kemudahan beramal pada-Nya lantas manusia berkata "Ya Allah, aku telah beramal, aku telah mentaati-Mu, aku telah mendekatkan diriku pada-Mu..". Tidak malukah berkata demikian! Sedangkan Allah lah yang mengizinkannya. Allah lah yang memberi kurnia-Nya kepada kita. Maka, Allah pun menjadikan kita taat pada-Nya.


Seperti kalam hikmah yang mulia Imam Ibnu Athaillah Askandary dalam kalam hikmahnya yang ke 123 :


"Apabila Dia (Allah) mengkehendaki melahirkan kurnia-Nya atas anda, niscaya Dia jadikan (amal ibadat bagi anda) dan menyandarkan (amal itu) bagi anda."

Setiap sedekah amal dari Allah kepada kita teramat bermakna dan beerti. Aku ingin bertanya. Semasa solat, adakah kita pernah merasa nikmat ketika sujud, nikmat yang merupakan keringanan untuk sujud, keringanan yang bukan di paksa kerana rukun tetapi kerana rindu sehingga sujud itu menjadi mudah, ringan dan penuh syukur. Sujud itu menjadi sesuatu yang di nanti2 pada tiap kali solat dan solat itu pula sentiasa di nanti-nanti kerana hanya ingin sujud kepada-Nya. MasyaAllah.. Pernah kah kita? Rasailah ia..


Bagi yang berdosa, dan mahu kembali, pasti sangat penasaran untuk memiliki hati sedemikian, solat sedemikian dan hati yang dekat dengan Khaliknya. Bukan? Pasti ingin merasa manisnya menerima sedekah dari Allah. Dan sedekah paling manis dari Allah bagi hamba2 yang berdosa, adalah taubat ke atas taubat yang palsu. Bukan aku mengatakan taubat kita semua nya palsu, tetapi aku ingin mengatakan, perbaharuilah taubat kita. Sentiasa bertaubat kerana ianya adalah sedekah yang tidak ternilai. Mulailah pada-Nya dengan meminta Dia mengurniakan Taubat Nasuha. Kerana, jika kita tidak meminta, badan akan terasa berat untuk rukuk dan sujud, dan hati pula menjadi lalai.


..Kemudian, setelah meminta pada-Nya Taubat Nasuha, apabila hati terasa lunak dengan Allah, terasa pedih dengan dosa, terasa mahu menangis, mahu mendakap Allah, itu bermakna Allah telah melunakkan hati kita, maka segeralah bertaubat dan bersyukur kerana hati kita masih hidup, berdenyut cinta Ilahi...Subahanallah..Sesungguhnya Allah sangat cinta teramat cinta pada orang2 yang bertaubat di atas taubat yang palsu.


Renungkanlah bahawa Alloh mahu benar menerima taubat kita :


"Dan Allah hendak menerima taubatmu.." [an-Nisa':27]


Sahabat2, kalian tahu bukan, yang Allah sentiasa membentangkan tangan-Nya untuk menerima taubat kita di setiap siang dan malam hari :


Nabi s.a.w bersabda :

" Robb kita setiap sepertiga malam terakhir, lalu berfirman, "Siapa yang berdoa pada-Ku, untuk Aku kabulkan permohonannya?; siapa yang meminta pada-Ku, untuk Aku penuhi permintaannya?; dan siapa yang mohon ampun pada-Ku, untuk Aku ampuni dosanya?."

[HR. Bukhari dan Muslim]


Lihatlah, perkataan seorang alim besar Tasawuf bernama Sahl bin Abdullah r.a :


Apabila seorang hamba Allah berbuat salah, lantas ia berkata :"

"Wahai Tuhanku! Engkau telah mentakdirkan , Engkau telah mengkehendaki dan Engkau telah memutuskan (bahawa aku telah berbuat tidak baik ini),"

Niscaya Allah Yang Maha Agung dan Maha Besar akan marah kepada kita dan Allah akan berkata :

"Wahai hamba-Ku! Engkaulah yang salah, engkaulah yang tidak mengerti dan engkaulah yang derhaka (kepada-Ku!)"


Tetapi apabila seseorang yang berdosa itu berkata dan berdoa kepada Allah di sebabkan kesalahannya :

"Wahai Tuhanku!. Aku telah aniaya atas diriku, akulah yang salah dan akulah yang tidak mengerti...,"


Niscaya Allah akan menjawab :

"Wahai hambaKu!. Akulah yang telah mentakdirkannya, kerana itu sesungguhnya Aku maafkan segala kesalahanmu"


Sahabat2 ku. Allah mengkehendaki kita bertaubat pada-Nya atas dosa2 yang di lakukan. Kepada-Nya jugalah diserahkan, penerimaan atau penolakkan taubat kita. Yang perlu, pintalah Taubat pada-Nya dengan berakhlak. Letakkanlah kesalahan ke atas diri kita sendiri, kerana Dia Maha Suci sedangkan kita lah yang hina. Bila kita mendamba pada-Nya, pasti Dia juga mendamba kan kita untuk menjadi hamba-Nya yang soleh. Masakan tidak, Dia sendiri yang menciptakan syurga dengan tangan-Nya untuk menunggu kita semua hamba-Nya. Maka, percayalah, termasuklah kita kedalam golongan orang2 yang soleh kerana taubat yang sebenar taubat bukan taubat yang palsu.


Pesanan ku buat diri sendiri dan buat semua, jadilah hamba yang merendah diri, merasa diri hina, nestapa, sunyi dari semua pujian manusia. Menjadilah kita hamba yang setiap hari menadah tangan, memohon sedekah dari Allah Yang Maha Agung. Semoga dengan sedekah-Nya, kita akan menjadi hamba yang kaya di sisi-Nya. Subahanallah, Insya Allah..ameen.


Wallahu'alam