Sunday, April 18, 2010

Puisi Guru Oh Guru

SN Dato' Usman Awang

Guru oh guru...........
Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat,
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat,
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat,
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang Ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang Peguam berbicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Dimana-mana dia berdiri di muka muridnya,
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota,
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu,
Dia adalah guru mewakili seribu buku,
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa,
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun di akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu,
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat,
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan Allahyarham SN Datu' Usman Awang
Dipetik dari buku antologi puisi Guru Oh Guru yang diselenggarakan oleh Zam Ismail
terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, 1989.

Friday, April 16, 2010

Ya Allah ...Berilah aku taubat nasuha...



Assalamualaikum w.b.t

BismillahhirRomanNirRohim..

"Kasihanilah aku wahai Tuhan
Hamba yang lemah ini pengampunan-Mu yang ku harapakan.."

Sahabat2 yang amat di kasihi Allah Azzawajalla, dan di ingati Rasulullah s.a.w sepanjang kehidupan. Insya Allah, kali ini kita akan berbicara tentang Allah. Mungkin perbicaraan ini terlalu global, namun, ianya sangat dekat di hati kita kerana Allah itu kan lebih dekat dari urat leher.

Allah..

Perbicaraan tentangNya pasti akan mengentarkan hati kerana Dialah Maha Agung, yang Ter Agung, maka pastilah hati menjadi kecut, muka menjadi pucat, bibir kelu berkata kerana nama Allah itu sudah mengalir di dalam darah, laju dan pantas sampai ke jantung lalu membikin jantung berdegup kencang kerana dia telah mengenal nama yang Maha Agung itu.


Begitulah kebesaran Allah dan Rahmat-Nya serta pengampunan-Nya yang tidak terhitung. Masakan hendak di hitung, kita sendiri wujud di dunia kerana kehendak-Nya, padahal hakikatnya kita tidak pernah wujud di dunia. Kerana cinta-Nya, Dia mewujudkan kita, sedangkan Dia Maha Tahu yang manusia selalu curang pada-Nya. Kerana Penyayang-Nya, dia mengizinkan pula kita beramal dengan amal2 yang sholeh sedangkan Dia Maha Tahu yang manusia akan lupa bahawa Dialah yang mengizinkan kemudahan beramal pada-Nya lantas manusia berkata "Ya Allah, aku telah beramal, aku telah mentaati-Mu, aku telah mendekatkan diriku pada-Mu..". Tidak malukah berkata demikian! Sedangkan Allah lah yang mengizinkannya. Allah lah yang memberi kurnia-Nya kepada kita. Maka, Allah pun menjadikan kita taat pada-Nya.


Seperti kalam hikmah yang mulia Imam Ibnu Athaillah Askandary dalam kalam hikmahnya yang ke 123 :


"Apabila Dia (Allah) mengkehendaki melahirkan kurnia-Nya atas anda, niscaya Dia jadikan (amal ibadat bagi anda) dan menyandarkan (amal itu) bagi anda."

Setiap sedekah amal dari Allah kepada kita teramat bermakna dan beerti. Aku ingin bertanya. Semasa solat, adakah kita pernah merasa nikmat ketika sujud, nikmat yang merupakan keringanan untuk sujud, keringanan yang bukan di paksa kerana rukun tetapi kerana rindu sehingga sujud itu menjadi mudah, ringan dan penuh syukur. Sujud itu menjadi sesuatu yang di nanti2 pada tiap kali solat dan solat itu pula sentiasa di nanti-nanti kerana hanya ingin sujud kepada-Nya. MasyaAllah.. Pernah kah kita? Rasailah ia..


Bagi yang berdosa, dan mahu kembali, pasti sangat penasaran untuk memiliki hati sedemikian, solat sedemikian dan hati yang dekat dengan Khaliknya. Bukan? Pasti ingin merasa manisnya menerima sedekah dari Allah. Dan sedekah paling manis dari Allah bagi hamba2 yang berdosa, adalah taubat ke atas taubat yang palsu. Bukan aku mengatakan taubat kita semua nya palsu, tetapi aku ingin mengatakan, perbaharuilah taubat kita. Sentiasa bertaubat kerana ianya adalah sedekah yang tidak ternilai. Mulailah pada-Nya dengan meminta Dia mengurniakan Taubat Nasuha. Kerana, jika kita tidak meminta, badan akan terasa berat untuk rukuk dan sujud, dan hati pula menjadi lalai.


..Kemudian, setelah meminta pada-Nya Taubat Nasuha, apabila hati terasa lunak dengan Allah, terasa pedih dengan dosa, terasa mahu menangis, mahu mendakap Allah, itu bermakna Allah telah melunakkan hati kita, maka segeralah bertaubat dan bersyukur kerana hati kita masih hidup, berdenyut cinta Ilahi...Subahanallah..Sesungguhnya Allah sangat cinta teramat cinta pada orang2 yang bertaubat di atas taubat yang palsu.


Renungkanlah bahawa Alloh mahu benar menerima taubat kita :


"Dan Allah hendak menerima taubatmu.." [an-Nisa':27]


Sahabat2, kalian tahu bukan, yang Allah sentiasa membentangkan tangan-Nya untuk menerima taubat kita di setiap siang dan malam hari :


Nabi s.a.w bersabda :

" Robb kita setiap sepertiga malam terakhir, lalu berfirman, "Siapa yang berdoa pada-Ku, untuk Aku kabulkan permohonannya?; siapa yang meminta pada-Ku, untuk Aku penuhi permintaannya?; dan siapa yang mohon ampun pada-Ku, untuk Aku ampuni dosanya?."

[HR. Bukhari dan Muslim]


Lihatlah, perkataan seorang alim besar Tasawuf bernama Sahl bin Abdullah r.a :


Apabila seorang hamba Allah berbuat salah, lantas ia berkata :"

"Wahai Tuhanku! Engkau telah mentakdirkan , Engkau telah mengkehendaki dan Engkau telah memutuskan (bahawa aku telah berbuat tidak baik ini),"

Niscaya Allah Yang Maha Agung dan Maha Besar akan marah kepada kita dan Allah akan berkata :

"Wahai hamba-Ku! Engkaulah yang salah, engkaulah yang tidak mengerti dan engkaulah yang derhaka (kepada-Ku!)"


Tetapi apabila seseorang yang berdosa itu berkata dan berdoa kepada Allah di sebabkan kesalahannya :

"Wahai Tuhanku!. Aku telah aniaya atas diriku, akulah yang salah dan akulah yang tidak mengerti...,"


Niscaya Allah akan menjawab :

"Wahai hambaKu!. Akulah yang telah mentakdirkannya, kerana itu sesungguhnya Aku maafkan segala kesalahanmu"


Sahabat2 ku. Allah mengkehendaki kita bertaubat pada-Nya atas dosa2 yang di lakukan. Kepada-Nya jugalah diserahkan, penerimaan atau penolakkan taubat kita. Yang perlu, pintalah Taubat pada-Nya dengan berakhlak. Letakkanlah kesalahan ke atas diri kita sendiri, kerana Dia Maha Suci sedangkan kita lah yang hina. Bila kita mendamba pada-Nya, pasti Dia juga mendamba kan kita untuk menjadi hamba-Nya yang soleh. Masakan tidak, Dia sendiri yang menciptakan syurga dengan tangan-Nya untuk menunggu kita semua hamba-Nya. Maka, percayalah, termasuklah kita kedalam golongan orang2 yang soleh kerana taubat yang sebenar taubat bukan taubat yang palsu.


Pesanan ku buat diri sendiri dan buat semua, jadilah hamba yang merendah diri, merasa diri hina, nestapa, sunyi dari semua pujian manusia. Menjadilah kita hamba yang setiap hari menadah tangan, memohon sedekah dari Allah Yang Maha Agung. Semoga dengan sedekah-Nya, kita akan menjadi hamba yang kaya di sisi-Nya. Subahanallah, Insya Allah..ameen.


Wallahu'alam

Tuesday, April 7, 2009

MASALAH PEMBELAJARAN

1.0 PENGENALAN

Salah satu daripada kategori kanak-kanak keperluan khas yang telah dikenalpasti ialah kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Pelajar bermasalah pembelajaran merupakan golongan kanak-kanak berkeperluan khas yang paling ramai. Dalam bab ini, kita membincangkan dengan lebih mendalam mengenai pelajar bermasalah pembelajaran.

Tumpuan ialah kepada definisi dan sebab-sebab berlakunya masalah pembelajaran. Juga dibincangkan ialah ciri-ciri dan kaedah mengenalpasti pelajar bermasalah pembelajaran. Akhirnya, tumpuan ialah kepada cara menempatkan pelajar-pelajar ini dan kaedah pengajaran yang sesuai bagi mereka.

2.0 DEFINISI MASALAH PEMBELAJARAN

2.1 Individual with Disabilities Education Act (IDEA), 1997

Masalah pembelajaran didefinisikan sebagai masalah dalam satu atau lebih daripada proses asas psikologi melibatkan pemahaman atau penggunaan bahasa sama ada pertuturan atau penulisan di mana masalah yang dihadapi mengakibatkan kebolehan mendengar, berfikr, bertutur dan membaca yang tidak sempurna. Ini tidak termasuk mereka yang bermasalah pembelajaran akibat daripada ketidakupayaan penglihatan, pendengaran dan motor, kerencatan akal, gangguan emosi atau kekurangan dalam persekitaran, budaya atau ekonomi.

2.2 The National Joint Committee on Learning Disabilities (NJCLD), 1990

Mentakrifkan masalah pembelajaran sebagai merujuk kepada satu kumpulan masalah yang pelbagai yang mengakibatkan kesukaran yang nyata mendengar, bertutur, membaca, menulis, membuat keputusan atau menyelesai masalah matematik. Masalah ini berpunca daripada ketidakfungsian sistem saraf pusat dan boleh berlaku pada bila-bila tahap umur. Masalah mengawal tingkah laku, persepsi dan interaksi sosial mungkin wujud bersama masalah pembelajaran tetapi ia sendiri tidak akan menyebabkan kepada berlakunya masalah pembelajaran. Masalah pembelajaran mungkin wujud seiring dengan ketidakupayaan lain seperti masalah sensori, kerencatan mental atau gangguan emosi.

Secara kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran terdiri daripada mereka yang kurang kemampuan belajar disebabkan oleh masalah pemahaman, pertuturan, penulisan dan penyelesaian masalah matematik. Ini tidak termasuk masalah pembelajaran disebabkan oleh kerencatan mental, kurang upaya penglihatan, pendengaran, gangguan emosi dan tingkah laku.

3.0 SEBAB-SEBAB MASALAH PEMBELAJARAN

Masalah pembelajaran boleh terjadi disebabkan kecederaan otak, keturunan, ketidakseimbangan biokimia dan persekitaran.

3.1 Kecederaan Otak

Kecederaan otak boleh berlaku sebelum kelahiran bayi di mana ibu yang mengandung mengambil alkohol atau dadah, dijangkiti demam campak atau merokok. Kecederaan otak juga boleh berlaku semasa kelahiran seperti bayi kekurangan oksigen. Selepas kelahiran, kecederaan otak boleh berlaku disebabkan demam panas, hentakan yang kuat pada bahagian kepala akibat kemalangan dan jangkitan seperti meningitis.

3.2 Keturunan

Terdapat banyak kajian menunjukkan, keturunan merupakan salah satu sebab kepada masalah pembelajaran. Penyelidik mendapati bahawa kira-kira 30-50% kanak-kanak menghadapi masalah pembelajaran apabila mempunyai ibu atau bapa atau kedua-duanya menghadapi masalah pembelajaran. Ini menunjukkan masalah pembelajaran boleh diwarisi daripada keturunannya.

3.3 Ketidakseimbangan Biokimia

Ketidakseimbangan biokimia juga boleh menyumbang kepada masalah pembelajaran. Ketidakseimbangan bahan kimia dikatakan boleh menjadi punca kepada masalah hiperaktiviti yang boleh mengakibatkan kesukaran memberi tumpuan ke atas kerja sekolah.

3.4 Faktor Persekitaran

Selain kecederaan otak, keturunan dan ketidakseimbangan biokimia, faktor persekitaran juga boleh menjadi penyebab kepada masalah pembelajaran. Persekitaran yang serba kekurangan kerana kemiskinan seperti pemakanan yang tidak seimbang, keadaan rumah yang tidak selesa, persekitaran yang kotor dan bising, hubungan ibu bapa dengan anak-anak tidak mesra atau tidak mencukupi boleh menimbulkan masalah pembelajaran di kalangan kanak-kanak.

Terdapat bukti menunjukkan bahawa kanak-kanak bermasalah yang tidak menerima pengajaran yang sistematik, telah memudaratkan lagi masalah pembelajaran yang dihadapi. Oleh itu, pengajaran yang sistematik patut diaturkan untuk semua pelajar bermasalah pembelajaran.

4.0 Ciri-ciri Pelajar Bermasalah Pembelajaran

Ciri-ciri pelajar bermasalah pembelajaran boleh dibahagikan kepada ciri kognitif, akademik, sosial dan emosi dan tingkah laku.

4.1 Ciri Kognitif

Pelajar bermasalah pembelajaran kebiasaannya lemah dalam pengamatan termasuklah tumpuan, perhatian, ingatan dan pemikiran atau pengolahan. Pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru atau sukar mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi pembelajaran.

4.2 Ciri Akademik

Ciri akademik berlaku di kalangan pelajar masalah pembelajaran dalam masalah membaca, lisan, tulisan dan matematik. Ramai pelajar masalah pembelajaran menghadapi masalah membaca. Paling nyata ialah kesukaran memahami apa yang dibaca dan kesukaran mengenal pasti perkataan. Istilah yang sering dikaitkan dengan masalah membaca ialah disleksia.

Selain membaca, pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam lisan seperti fonologi, morfologi, susunan kata dalam ayat (syntax) dan pragmatik. Pelajar yang lemah dalam lisan gagal memahami perkataan yang di sampaikan sekaligus sukar melibatkan diri dalam perbualan atau interaksi dengan kawan dan sebagainya.

Masalah kemahiran menulis di kalangan pelajar bermasalah pembelajaran ialah kesukaran memegang pen atau penselketika menulis dengan tangan, menulis huruf yang berlainan saiz, kelemahan dalam mengeja, tidak menggunakan tatabahasa yang betul, organisasi perenggan yang tidak teratur dan kurang menggunakan struktur ayat yang kompleks.

Secara umum, pelajar kemahiran menulis pelajar bermasalah pembelajaran adalah lebih rendah berbanding dengan rakan sebaya mereka yang normal atau biasa. Bagaimana pun, kemahira menulis pelajar bermasalah pembelajaran boleh dipertingkatkan jika intervensi awal dilaksanakan dan kaedah mengajar yang teratur dan sistematik diperkenalkan.

Bidang terakhir di mana pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran untuk belajar ialah matematik. Masalah ini juga boleh di istilahkan sebagai diskalkulia yang merujuk kepada ketidakupayaan dalam kemahiran matematik. Secara umumnya diskalkulia bermakna ketidakupayaan untuk mengira. Antara masalah matematik yang berlaku di kalangan pelajar bermasalah pembelajaran ialah tidak menguasai sepenuhnya dalam pengiraan asas seperti tambah, tolak, darab dan bahagi. Selain itu, pelajar bermasalah pembelajaran sukar membuat anggaran dan pengukuran seperti saiz, nilai, wang, jarak atau cecair.

4.3 Ciri Sosial dan Emosi

Memahami ciri sosial dan emosi pelajar bermasalah pembelajaran adalah sama penting dengan memahami ciri kognitif dan akademik mereka. Bagaimana pelajar bermasalah pembelajaran melihat diri mereka dan orang lain serta bagaimana mereka mahir dalam interaksi sosial secara signifikannya dapat mempengaruhi mereka berjaya dalam pembelajaran. Tambahan pula,kejayaan mereka dalam hidup bergantung kepada kemampuan mereka berinteraksi dengan orang lain secara berkesan.

4.3.1 Kemahiran Sosial yang Lemah

Pelajar yang mempunyai kemahiran sosial yang lemah didapati sukar untuk mencari kawan, diketepikan oleh pelajar lain dan tidak kerap berinteraksi dengan guru. Mereka kurang mempunyai teman-teman dari kalangan kanak-kanak biasa disebabkan mereka tidak berupaya untuk mengetahui kenapa dan bagaimana untuk menjalin serta mengekalkan hubungan. Adakalanya pelajar bermasalah pembelajaran tidak mempunyai kemahiran untuk menolak tekanan rakan sebaya yang negatif serta tidak dapat mengenalpasti model rakan sebaya yang baik untuk ditiru.

Akibatnya, harga-diri (self-esteem) mereka pun rendah yang mungkin disebabkan dengan kekecewaan usaha mereka berinteraksi dengan orang lain. Kadang kala hal ini menyebabkan mereka bertingkah laku negatif dan menyakiti orang lain.

4.3.2 Motivasi

Motivasi merupakan keinginan untuk melibatkan diri dalam aktiviti. Kebanyakan pelajar bermasalah pembelajaran kurang bermotivasi untuk belajar. Apabila pelajar bermasalah pembelajaran berjaya dalam peperiksaan, mereka menganggap sebagai bernasib baik atau ujian senang, tetapi apabila gagal dalam ujian, mereka menganggap diri mereka bisu (dumb). Keadaan ini menunjukkan betapa lemahnya motivasi mereka.

4.4 Ciri Tingkah Laku

Sebahagian pelajar bermasalah pembelajaran mempunyai masalah sukar memberi tumpuan, mudah terganggu, terlalu aktif dan resah, tidak mengikut arahan dan sebagainya. Istilah yang sering digunakan dalam masalah ini di sebut masalah kurang tumpuan hiperaktiviti (ADHD). Masalah tingkah laku ini akan mengganggu kelas dan tidak menyenangkan bagi guru, ibu bapa dan pelajar lain. Masalah tingkah laku ini juga boleh mengganggu hubungan sosial dan memberi kesan negatif terhadap penilaian kendiri pelajar.

5.0 JENIS-JENIS PENAKSIRAN

Untuk mengenal pasti sama ada seorang pelajar itu bermasalah pembelajaran, penaksiran perlu dilakukan. Antara kaedah penaksiran yang digunakan ialah penaksiran formal, penaksiran dalam bilik darjah dan response to intervention (RTI).

5.1 Penaksiran Formal

5.1.1 Ujian Rujukan Norma

Ujian Rujukan Norma ialah ujian yang mengukur pencapaian seseorang individu untuk dibandingkan dengan pencapaian individu lain dalam sesuatu kumpulan. Ia merupakan suatu ujian yang digunakan untuk menentukan prestasi seseorang individu ke atas sesuatu tugasan supaya pencapaian individu tersebut boleh dibandingkan dengan pencapaian individu lain yang melakukan tugasan yang sama.

5.1.2 Ujian Rujukan Kriteria

Ujian Rujukan Kriteria adalah ujian mengukur pencapaian individu dan dibandingkan dengan kriteria yang telah ditentukan. Contohnya, ujian memandu di mana pelajar perlu menunjukkan kecekapan yg telah ditetapkan sebelum dia diluluskan. Prestasi seseorang itu tidak akan dibandingkan dengan prestasi orang lain. URK ini boleh dibandingkan dengan satu kriteria yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

5.2 Penaksiran dalam Bilik Darjah

5.2.1 Pengukuran Berasaskan Kurikulum (CBM)

Istilah Pengukuran Berasaskan Kurikulum ( Curriculum Base Measurement) difahamkan secara umumnya sebagai penaksiran prestasi pelajar berasaskan kurikulum tempatan. Item yang digunakan dalam penaksiran diambil dari kurikulum sekolah.

CBM digunakan untuk membantu guru menentukan apa yang hendak diajar pada masa akan datang, memudahkan penilaian kemajuan pelajar di mana program penilaian berasaskan kurikulum berperanan untuk melihat kaedah dan bahan pengajaran yang digunakan adalah bersesuaian. Ia dikatakan sah dan ada kebolehpercayaan di mana ia dikaitkan dengan isi kandungan serta dikatakan ada kebolehpercayaan apabila kita mengulangi ujian ke atas pelajar yang sama. Namun begitu CBM ini juga berperanan meningkatkan tahap pencapaian pelajar kerana ia diuji berdasarkan kurikulum, berkesan untuk mengetahui apa yang hendak dilihat dan murid mengetahui apa yang hendak dipelajari dan apa yang telah dikuasai. Di samping itu juga berkesan untuk merekod kemajuan pelajar.

5.2.2 Portfolio

Portfolio merupakan satu folder atau fail yang mengandungi bahan-bahan kutipan dikumpulkan untuk sesuatu tempoh bagi menggambarkan atau menjelaskan atau menerangkan perkembangan kognitif bagi si penyedianya tentang sesuatu tugasan yang pernah diarahkan. . Ia merupakan satu koleksi produk iaitu sampel kerja kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam satu fail. Koleksi produk ini menunjukkan apa yang telah dilakukan oleh pelajar. Inferens juga boleh dilakukan ke atas pelajar dari segi kebolehan seseorang pelajar pada masa depan. Contoh-contoh produk yang boleh dikumpulkan ialah tulisan, lukisan, lembaran kerja dan sebagainya.

5.2.3 Pemerhatian

Bagi kanak-kanak yang dikenalpasti mempunyai masalah pembelajaran, pemerhatian akan dilaksanakan untuk mengetahui situasi sebenar kanak-kanak tersebut secara semula jadi. Ia dilakukan secara tidak disedari supaya kanak-kanak tidak berpura-pura di mana fokus pemerhatian adalah untuk mengetahui tahap kefungsian kanak-kanak secara semula jadi tanpa diganggu oleh faktor-faktor lain. Penilaian boleh dibuat semasa individu terlibat dalam aktiviti-aktiviti hariannya seperti bermain, bekerja dalam kumpulan dan penglibatannya dalam aktiviti secara berkumpulan dan sebagainya. Bentuk ini sukar diinterpretasikan kerana ia hanya merekodkan apa yang dilihat sahaja dan orang lain mungkin memberikan interpretasi yang sama atau berbeza.

5.4 Response To Intervention (RTI)

Response To Intervention (RTI) digunakan untuk mengenalpasti pelajar bermasalah pembelajaran bagi menentukan intervensi awal. Ini dapat dicapai melalui penilaian respon pelajar mencapai matlamat. Terdapat 3 peringkat model RTI:

1. Penyaringan pelajar berisiko (screening for at-risk students)

2. Memantau tanggapan/ respon kepada pengajaran (monitoring of responsiveness to instruction)

3. Penentuan arah tindakan (determination of the course of action)

6.0 CADANGAN LATIHAN PENDIDIKAN BAGI PELAJAR BERMASALAH PEMBELAJARAN

Pelajar bermasalah pembelajaran di dapati sukar menyusun maklumat, tidak cekap menggunakan pengetahuan sedia ada dan tidak dapat menggunakan strategi pembelajaran dengan berkesan. Terdapat 2 pendekatan dalam pengajaran pelajar bermasalah iaitu pengajaran secara langsung dan strategi pengajaran.

6.1 Pengajaran secara Langsung

Guru hendaklah mengajar secara langsung menurut urutan yang tersusun. Guru perlu menggunakan banyak contoh dan ilustrasi untuk menerangkan sesuatu konsep. Pengajaran hendaklah dibahagikan kepada langkah-langkah kecil dan disampaikan langkah demi langkah. Guru juga perlu sentiasa memberi maklum balas sama ada pelajar berjaya menguasai sesuatu butir maklumat. Aktiviti-aktiviti pembelajaran yang disusun hendaklah menarik dan melibatkan pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif.

6.2 Strategi Pengajaran

Pelajar bermasalah pembelajaran tidak menggunakan strategi pembelajaran yang berkesan. Strategi pembelajaran didefinisikan sebagai pendekatan yang digunakan oleh seseorang dalam menghadapi sesuatu tugas pembelajaran. Ia melibatkan individu itu mengetahui apa yang harus dilakukan, bagaimana hendak dilakukan dan dapat mengesan sejauh mana dia berjaya melakukan. Antara strategi pembelajaran yang perlu diajar ialah membuat nota, menggunakan pengetahuan sedia ada untuk membantu kefahaman, strategi mendengar, penyelesaian masalah dan sebagainya.

7.0 Pilihan Penempatan Pendidikan

Penempatan pendidikan bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran pada masa kini merupakan salah satu isu yang paling berkontroversi. Tempat di mana seseorang pelajar bermasalah pendidikan itu menerima pembelajaran sebenarnya akan memberi kesan kepada sikap, pencapaian dan perkembangan sosial mereka. Terdapat beberapa pilihan penempatan yang biasanya ditawarkan kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran, antaranya:

7.1 Bilik Darjah Biasa

Pelajar bermasalah pembelajaran dan pelajar biasa di tempatkan di dalam bilik darjah yang sama. Pendekatan ini memerlukan perancangan yang teliti, kesediaan guru dan sistem sokongan yang lengkap. Hanya penempatan pelajar secara fizikal di dalam bilik darjah biasa tidak cukup untuk memastikan peningkatan pencapaian akademik dan penerimaan sosial pelajar bermasalah pembelajaran. Guru pendidikan khas akan bekerjasama dengan guru biasa dalam pengendalian kelas. Guru pendidikan khas dan guru biasa akan berkongsi tanggungjawab untuk mengajar.

7.2 Guru Pendidikan Khas sebagai Penasihat

Guru pendidikan khas sebagai penasihat membantu guru biasa dengan kaedah mengajar pelajar bermasalah pembelajaran. Dia membantu dalam penyusunan persekitaran fizikal, menyediakan atau mengadaptasi rancangan pengajran dan bahan serta membina prosedur penilaian dan pengredan pelajar bermasalah pembelajaran. Dia juga mengumpul maklumat, membuat pemerhatian dan mempermudahkan perbincangan tentang pengajaran pelajar bermasalah pembelajaran. Pengajaran secara langsung dijalankan oleh guru biasa.

7.3 Bilik Sumber

Pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan di sekolah biasa akan pergi ke bilik sumber untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan bagi membantu mereka dalam pembelajaran. Contohnya, perkhidmatan penaksiran dan pengajaran pemulihan disediakan. Bilik sumber membolehkan pelajar bermasalah pembelajaran mendapat faedah daripada pengajaran yang spesifik, pada masa yang sama mengekalkan integrasi dengan kawan dan rakan sebaya di sekolah. Guru bilik sumber mestilah seorang yang mempunyai kecekapan yang tinggi dan dapat bekerjasama dengan guru biasa, membuat penaksiran pembelajaran dan tingkah laku, membina pengajaran individu serta bekerja secara efektif dengan ibu bapa dan keluarga. Program bilik sumber yang ditawarkan harus cukup fleksibel untuk disesuaikan dengan tahap pembelajaran pelajar.

7.4 Bilik Darjah Berasingan

Dalam kelas berasingan, bilangan pelajar bermasalah pembelajaran adalah kecil (dicadangkan tidak melebihi 8 orang pelajar pada satu-satu masa). Pelajar dikumpulkan mengikut mereka yang mempunyai masalah pembelajaran sahajaatau dikumpulkan mengikut mereka yang terdiri daripada pelajar yang pelbagai jenis kategori ketidakupayaan. Biasanya, pelajar bermasalah pembelajaran, menghadapi gangguan emosi dan kerencatan mental ditempatkan dalam satu kelas. Kelas berasingan mempunyai beberapa kelebihan. Antaranya ialah mereka dapat mewujudkan konsep kendiri yang lebih baik berbanding pelajar bermasalah pembelajaran yang ditempatkan dalam kelas biasa. Ini berlaku mungkin kerana persaingan di kelas biasa memerlukan beberapa kriteria yang tidak dapat dicapai oleh pelajar bermasalah pembelajaran. Sesetengah pelajar ini juga menunjukkan kemajuan yang lebih di kelas berasingan berbanding kelas biasa. Kelas berasingan menawarkan keadaan paling berkesan bagi pelajar bermasalah pembelajaran yang teruk dan serius yang memerlukan pengajaran yang lebih bertumpu.

8.0 KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi kesukaran dalam pembelajaran disebabkan oleh faktor psikologi dan faktor persekitaran. Pelajar bermasalah pembelajaran menghadapi masalah dalam kognitif, akademik, sosial dan emosi serta tingkah laku.

Penaksiran pelajar bermasalah pembelajaran boleh lakukan melalui beberapa kaedah seperti RTI yang digunakan untuk mengenalpasti kewujudan masalah pembelajaran. Selain itu, penaksiran formal dan penaksiran tidak formal juga boleh digunakan. Terdapat beberapa penempatan yang ditawarkan serta kaedah pengajaran yang sesuai kepada pelajar bermasalah pembelajaran bagi memastikan pembelajaran mereka dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Saturday, February 28, 2009

WANITA...

kau digelar sebagai penyeri dunia
hadirmu melengkap hubungan manusia
bukan sahaja dirindui yang biasa
malah Adam turut sunyi tanpa Hawa

akalmu senipis bilahan rambut
tebalkanlah ia dengan limpahan ilmu
jua hatimu bak kaca yang rapuh
kuatkanlah ia dengan iman yang teguh

tercipta engkau dari rusuk lelaki
bukan dari kaki untuk dialasi
bukan dari kepala untuk dijunjung
tapi dekat di bahu untuk dilindung
dekat jua di hati untuk dikasihi
engkaulah wanita hiasan duniawi

mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok
jika datangnya dari kayu yang bengkok
begitulah peribadi yang dibentuk
engkaulah wanita istimewa

didiklah wanita dengan keimanan
bukannya harta ataupun pujian
kelak tidak derita berharap pada yang binasa
engkaulah wanita istimewa

sedarilah insan istimewa
bawa kelembutan bukan kelemahan
bukan jua penghinaan dari Tuhan
bahkan sebagai hiasan kecantikan

Tuesday, February 10, 2009

Keadaan Membuatkan Lelaki Menjadi Dayus

dipetik dari zaharuddin.net
SECARA mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila:

1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2) Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3) Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4) Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5) Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7) Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8) Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9) Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10) Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas danyang sepertinya.

11) Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12) Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13) Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

14) Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa sebarang pemerhatian.

15) Membiarkan anak-anak serta isteri mewarnakan rambut dengan warna merah yang bukan warna asal kurniaan Allah.

Thursday, January 29, 2009

Pesanan Semasa Mendengar Azan

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa.. lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan ’sakaratul maut’.



Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah SWT akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya."


Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri. Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri?




Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah.." yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah SWT dgn izinNya menjanjikan syurga untuk mereka.


Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut. "Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah.." semasa sakaratul maut menghampiri kami.



Amin.. amin.. amin Yarobbal a’lamin.."

Wanita bertudung tetapi tidak menutup aurat?

SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.


Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.


Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis.


Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?



Aurat berasal daripada bahasa Arab, "Aurah" yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)



Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib.


Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:


# Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.

Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).


Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur, ayat 31)


Firman Allah lagi yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.? (Surah al-Ahzab, ayat 59).


Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.


# Pakaian yang longgar


Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan menutup aurat seperti dikehendaki syarak.


Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: "Rasulullah SAW didatangi dengan beberapa helai kain "qubtiyyah" (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu.Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: "Dan suruhlah isterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya)."

Menurut Ibn Rusyd, "qubtiyyah" ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya.

Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.


# Pakaian yang tidak jarang


Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya.


Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: "Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya".



Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.


# Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).

Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.


Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannya dengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka".


# Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir

Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: "Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki". Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.


# Tidak bertabarruj

Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.


Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama)". (Surah al-Ahzab, ayat 33)




Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada.

Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya ilmu Islam sebenar.